Kerjasama GFB, SOGDC dan SISMA Energy bangunkan fasiliti gas di SOGIP

Kerjasama GFB, SOGDC dan SISMA Energy bangunkan fasiliti gas di SOGIP

Kota Kinabalu: Syarikat berkaitan minyak dan gas, Globaltec Formation Berhad (GFB) semalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) dan SISMA Energy Sdn Bhd bagi kerjasama membangunkan fasiliti dan infrastruktur gas di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Menerusi MoU itu, GFB yang diketuai ahli perniagaan terkenal yang juga pemimpin masyarakat Cina, Tan Sri TC Goh, akan membekalkan minyak dan gas ke SOGIP selaku penerima manfaat utama dalam projek berkenaan.

MoU itu ditandatangani pada majlis sambutan genap setahun pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju (SMJ) dengan disaksikan Ketua Menteri yang Menteri Kewangan negeri dan Pengerusi SOGDC, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.

Majlis itu turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong; Goh selaku Pengerusi Eksekutif GFB; Pengarah GFB, Kee Yong Wah dan Chen Mun Hing; Ben Goh selaku Pembantu Khas Pengarah Urusan GFB, Dr Jamal; Pengarah Urusan SISMA Energy; pengarah-pengarahnya, Kavin Yu dan Suhaili serta Ketua Pegawai Eksekutif SOGIP, Abdul Kadir Damsal.

SISMA Energy Sdn Bhd selaku pemilik projek dan pelabur adalah anak syarikat milik penuh Kumpulan SISMA, sebuah entiti perniagaan swasta yang diasaskan pada 1974 dengan antara perniagaannya merangkumi minyak dan gas, peruncitan, automobil, perlombongan arang batu dan sektor kewangan.

Kumpulan SISMA turut memiliki permit yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) untuk mengimport gas asli cecair (LNG).

Menerusi MoU berkenaan, SISMA Energy bekerjasama dengan SOGDC untuk merangka halatuju pembangunan dan perincian kewangan projek terbabit.

Sementara itu, GFB menerusi kerjasama dengan anak syarikatnya, NuEnergy Gas Limited (NuEnergy) akan membekalkan minyak dan gas untuk projek berkenaan.

Apabila dilaksanakan, projek itu akan menjadi kerjasama jangka panjang yang secara efektif akan mengkomersialkan pengeluaran ‘Cold-bed methane’ (CBM) dan menjana sumber pendapatan baharu kepada kumpulan GFB.

NuEnergy adalah sebuah syarikat tenaga bersih bebas yang terbabit dalam pelbagai eksplorasi CBM, pembangunan dan usaha pengeluaran di Indonesia.

Sementara itu, Goh yang juga Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia. (Huazong) dan Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), menyifatkan projek terbabit sebagai pembangunan jangka panjang.

Katanya, mengambil kira kekurangan bekalan tenaga di Sabah yang menghalang pembangunan ekonomi Sabah selama ini, beliau kini berharap GFB dapat menyediakan CBM dan gas asli yang mencukupi kepada Sabah menerusi projek berimpak tinggi itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|