PGA rampas 6,000 karton minuman keras pelbagai jenama

PGA rampas 6,000 karton minuman keras pelbagai jenama

Kota Kinabalu: Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kota Kinabalu menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras pelbagai jenama dalam serbuan di sebuah gudang di Jalan Tuaran, Inanam, di sini, semalam.

Serbuan menerusi Op Kontraban kira-kira jam 4.30 petang itu merampas sebanyak 6,000 karton minuman keras dipercayai tidak bercukai.

Minuman keras yang dirampas menerusi Op Kontraban di sebuah gudang di Inanam, Kota Kinabalu.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota cawangan risikan Batalion 16 PGA melakukan serbuan di sebuah gudang di kawasan berkenaan.

Katanya, selepas memperkenalkan diri, dua lelaki berusia 30 dan 43 tahun sebagai penjaga premis dan pemandu ditahan untuk pemeriksaan.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias

“Pemeriksaan lanjut pasukan serbuan menemui pelbagai jenis minuman keras yang disyaki diseludup.

“Tangkapan dan rampasan akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk cukai belum dipastikan.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|