Tubuh jawatankuasa khusus selesai isu akses jalan raya

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan mencadangkan supaya satu jawatankuasa khusus ditubuhkan untuk menyelesaikan isu aksesibiliti bagi memudahkan guru ke sekolah terutama di kawasan pedalaman.

Katanya, walaupun kerajaan ketika ini menumpukan kepada usaha yang seumpama itu tetapi isu itu dilihat berlanjutan dan tidak pernah selesai.

Aliakbar pada Program Ziarah Sekolah sempena sambutan Hari Guru di SMK Bandaraya, Kota Kinabalu.

“Kita kasihan melihat ada guru yang naik motosikal di tanah berlumpur dan sepatutnya keadaan ini tidak berlaku lagi selepas lebih 60 tahun kita merdeka.

“Jadi saya cadangkan juga supaya pihak kerajaan meletakkan suatu dana tambahan atau besar untuk memastikan aksesibiliti guru ke sekolah lebih mudah dan mudah dicapaikan,” katanya.

Aliakbar berkata demikian kepada media selepas Program Ziarah Sekolah sempena sambutan Hari Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya, di sini, semalam.

Beliau sebelum itu diminta mengulas langkah yang perlu diambil bagi membantu guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman supaya dipermudahkan dari segi aksesibiliti untuk ke sekolah masing-masing.

Tambah beliau lagi, isu akses jalan raya boleh menjadi punca guru menolak untuk memberi perkhidmatan di kawasan pedalaman sekali gus akan menyebabkan anak di kawasan berkenaan tercicir daripada menerima pendidikan.

“Kita sering menyuarakan perkara ini termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkaitan isu jalan raya khususnya soal aksesibiliti untuk guru sampai ke sekolah tempat mereka mengajar.

“Keadaan ini akan menyebabkan dua kesan iaitu pertama misalnya, guru-guru mungkin akan menolak tawaran ke tempat yang sukar dicapai, yang kedua kalau guru tidak ada di tempat itu, maka pelajar atau anak kampung, masyarakat di tempat itu tertinggal dari segi pendidikan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|