Jangkitan HFMD dalam kalangan kanak-kanak di Sabah tinggi

Jangkitan HFMD dalam kalangan kanak-kanak di Sabah tinggi

Kota Kinabalu: Jangkitan penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) khususnya dalam kalangan kanak-kanak di Sabah dilaporkan sangat tinggi dengan sebanyak 2,834 kes direkodkan dari Januari hingga 16 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan yang besar berbanding hanya 55 kes yang dilaporkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Beliau berkata, sebanyak lima daerah mencatat kes tertinggi setakat ini iaitu Tawau (435 kes), Sandakan (387 kes), Lahad Datu (308 kes), Kota Belud (244 kes) dan Papar (229 kes), namun tiada kes kematian disebabkan HFMD dilaporkan.

“Sebanyak 93.1 peratus kes adalah kanak-kanak yang berumur kurang daripada enam tahun. Transmisi jangkitan majoritinya berlaku di rumah persendirian atau pusat pendidikan awal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, penyakit HFMD kebiasaannya menjangkiti kanak-kanak di bawah umur 10 tahun yang menyebabkan lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut.

Penyakit itu katanya disebabkan virus (kumpulan enterovirus) HFMD yang merebak dari individu ke individu dengan kontak secara langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam daripada mereka yang dijangkiti.

“Kanak-kanak di bawah umur lima tahun adalah golongan yang paling mudah dijangkit HFMD dan selalunya terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama,” katanya.

Katanya, berikutan situasi HFMD di Sabah ketika ini, JKNS mengambil beberapa langkah pencegahan termasuk melakukan siasatan segera ke atas kes-kes yang dilaporkan dan menjalankan promosi kesihatan serta pemeriksaan menyeluruh premis yang berisiko seperti taska dan tadika.

Beliau berkata, ia bagi menilai tahap kebersihan dan amalan disinfeksi peralatan serta perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak supaya bebas daripada risiko jangkitan HFMD.

JKNS juga katanya mengarahkan penutupan premis di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk kerja-kerja pembersihan premis bagi memutuskan rangkaian jangkitan HFMD sekiranya terdapat kes positif HFMD di sesuatu premis.

“Kita turut mengadakan perbincangan dengan pihak pengendali taska dan tadika untuk memberikan khidmat nasihat sepertimana dalam buku Garis Panduan HFMD dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Selain itu, JKNS juga menggalakkan amalan kebersihan diri dalam kalangan masyarakat dengan mengadakan promosi kesihatan di pasaraya dan tempat permainan kanak-kanak terutama dalam meningkatkan disinfeksi secara berkala,” katanya.

Dr Rose Nani turut menekankan tanggungjawab ibu bapa dalam pencegahan HFMD dengan memastikan langkah pencegahan penularan jangkitan penyakit itu dilaksanakan sepanjang masa.

Katanya, ia termasuk membasuh tangan dengan sabun sebelum makan, ketika mengendalijan makanan dan selepas menggunakan tandas, mencuci dan melakukan disinfeksi bilik air, mainan dan barangan lain yang disentuh anak dengan sabun dan air atau cecair pembasmi kuman.

“Jangan berkongsi cawan minum, peralatan makanan atau barangan peribadi seperti tuala dan berus gigi dan elakkan memeluk dan mencium anak yang dijangkiti.

“Ibu bapa perlu membawa anak yang mempunyai tanda dan mengalami gejala jangkitan untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan dan tidak menghantar anak yang dijangkili ke tempat-tempat awam dan pusat pendidikan awal,” katanya.

Pada masa sama, katanya JKNS turut meminta pengusaha pusat jagaan kanak-kanak atau Tadika untuk melaksanakan tindakan pencegahan bagi mengelak penularan HFMD di premis masing-masing.

Antara yang wajib dilakukan ialah saringan gejala atau simptom di pintu masuk premis seperti demam, ulser pada tekak, mulut dan lidah, ruam dengan lepuh pada tapak tangan dan kaki, sakit kepala dan hilang selera makan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|