Enam PATI diusir keluar dari perairan negara

Tawau: Cubaan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk menggunakan bot jongkong dan bot laju dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi di kawasan perairan Sungai Melayu, di sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 8 pagi itu, semua bot yang dinaiki dua lelaki dan empat wanita berusia 13 hingga 60 tahun itu dipintas sebelum diiringi keluar dari perairan negara.

PATI yang diusir keluar ketika cuba memasuki perairan negara di Tawau.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, pergerakan semua bot berkenaan berjaya dikesan pasukan operasi Batalion 14 PGA Tawau yang sedang menjalankan rondaan Op Taring.

Katanya, kedua-dua bot dan jongkong berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan selepas dipercayai bergerak dari perairan antarabangsa Indonesia, masuk ke negara ini.

“Sebaik ditahan, pemeriksaan mendapati semua juragan bot dan penumpang tidak mempunyai dokumen keterangan diri yang sah.

“Hasil soal siasat, semua individu terbabit mengaku sebagai warga negara Indonesia dan ingin masuk ke Tawau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, pasukan operasi terus membuat pengusiran dengan mengiringi keempat-empat bot berkenaan keluar daripada perairan negara.

Katanya, pasukan operasi turut menasihatkan semua pati terbabit supaya tidak lagi memasuki perairan negara secara salah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|