PPM rampas minyak diesel cuba diseludup

Tawau: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki selepas dikesan cuba menyeludup diesel bernilai RM183,025, di sebuah stesen minyak di Taman Sawit, Balung, di sini, semalam.

Lelaki berusia 38 tahun terbabit berjaya ditahan selepas dikesan sedang mengisi minyak diesel menggunakan lori tangki 10 tan yang diubahsuai.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau dan diserahkan kepada KPDNHEP untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati tangki kenderaan itu telah diubahsuai untuk menyimpan diesel dipercayai bagi tujuan penyeludupan.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM183,025 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-2831197 atau berhubung ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|