Sazzlan buktikan anak Tawau mampu lakar kejayaan di pentas antarabangsa

Tawau: Latihan yang gigih selain tidak pernah ‘skip’ dalam setiap jadual latihan antara tips kejayaan pesilat negara, Sazzlan Yuga bersama pasangannya Mohd Taqiyuddin Hamid memenangi pingat emas Sukan Sea 2021, di Hanoi, Vietnam.

Sazzlan dan Taqiyuddin berjaya mengutip emas dalam acara akhir silat ganda putra (seni) di Pusat Sukan Bac Yu Leim, Hanoi pada 11 Mei lalu selepas mengutip 9.950 mata mengatasi pencabar dari singapura dengan jurang 0.045 mata.

Sazzlan menerima insentif daripada Nizam sambil disaksikan Hajiji berikutan kejayaannya mengutip emas pada Sukan Sea Hanoi.

Kejayaan anak jati Tawau dari Kampung Kurnia Jaya Batu 4, Jalan Apas itu sekali gus membuktikan anak Tawau juga mampu melakar nama di pentas antarabangsa dan menjadi kebanggaan Sabah.

Anak muda berumur 27 tahun itu, berkata beliau melakukan persiapan selama setahun termasuk selama sebulan di Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum berangkat ke Hanoi.

“Sebelum ke Hanoi, persiapan sudah bermula dua tahun lalu tapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), latihan sepenuhnya dilakukan sejak setahun lalu termasuk program luar di Langkawi.

“Sebulan sebelum Sukan Sea, latihan tertumpu di MSN, jadi itulah persiapan yang kami ikuti, kalau ikutkan hanya mengikuti apa yang ‘coach’ ajar dan arahkan serta jangan pernah ‘skip’ latihan,” katanya ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag.

Sazzlan berkata, beliau yang sudah beberapa kali merangkul kejuaraan sejak 2017 berhasrat ingin berkhidmat di bawah Majlis Sukan Negeri Sabah jika diberi peluang.

“Sebenarnya saya dapat pingat dari 2017 pada Sukan Sea Kuala Lumpur iaitu perak. Selepas itu pada 2018 World Championship di Sngapura memenangi pingat emas dan seterusnya pada 2019 di Filipina dapat emas juga dan yang terkini di Vietnam, alhamdulillah juga dapat pingat emas.

“Kini saya baru saja dapat berkhidmat di Jabatan Belia dan Sukan Kuala Lumpur, iaitu bermula minggu depan. Jadi insyaallah kalau diberi peluang untuk saya berkhidmat di negeri Sabah, besar harapan saya untuk berkhidmat di negeri sendiri,” katanya.

Berikutan kejayaan itu, Sazzlan menerima wang insentif sebanyak RM2,000 daripada Nizam sebagai menghargai kemenangannya dan penyuntik semangat dalam kejohanan akan datang.

Sementara itu, Nizam berkata dengan insentif itu, beliau berharap dapat menambahkan lagi semangat Sazzlan untuk terus bekerja keras dan mencipta kejayaan yang lebih tinggi lagi.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, berkata Sazzlan membuktikan anak Tawau juga mampu mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|