Penyeludup lari tinggalkan 393 karton rokok seludup

Sandakan: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 393 karton rokok pelbagai jenama bernilai hampir RM50,000 di kawasan Pasar Ikan Tanah Merah, di sini, semalam.

Rampasan dilakukan anggota Tiger Platon Batalion 15 PGA dan anggota Task Force Perisikan Batalion 15 PGA Sandakan, kira-kira jam 9.30 malam.

Rokok seludup yang disembunyikan di sebatang pokok di kawasan Pasar Ikan Tanah Merah, Sandakan. Pix Ihsan PGA 

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, ketika menjalankan tugas risikan maklumat di kawasan berkenaan melihat sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika dihampiri, semua individu terbabit segera meninggalkan kawasan berkenaan.

Rokok seludup pelbagai jenama yang dirampas anggota Batalion 15 PGA di kawasan Pasar Ikan Tanah Merah, Sandakan. Pix Ihsan PGA 

“Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan itu menemukan beberapa plastik hitam dipercayai berisi rokok seludup yang disembunyikan di belakang sebatang pokok.

“Selepas melakukan pemerhatian selama hampir setengah jam, tiada siapa yang datang. Hasil pemeriksaan ke atas 13 plastik hitam itu didapati berisi sebanyak 393 karton rokok pelbagai jenama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampas dianggarkan berjumlah hampir RM50,000.

“Semua barang rampas dibawa ke Balai Polis Sandakan, untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|