Tragedi mandi sungai: SAR disambung esok

Tragedi mandi sungai: SAR disambung esok

Penampang: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang dihanyutkan arus di sungai Kampung Pogunon, di sini, semalam, akan disambung semula pagi esok.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, operasi SAR esok akan diteruskan dengan penambahan aset bot daripada Pasukan Polis Marin (PPM).

Katanya, operasi SAR ditangguh kira-kira jam 7 malam tadi dan dijangkakan akan disambung semula seawal jam 6.30 pagi esok.

“Operasi SAR akan diperhebatkan termasuk penambahan aset menerusi bantuan bot oleh PPM.

“Diharap dengan penambahan aset ini dapat mempercepatkan dan memudahkan lagi operasi pencarian,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mengulas mengenai operasi SAR hari ini, Zeno berkata, operasi SAR hari kedua membabitkan agensi keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan penduduk kampung.

Katanya, tindakan operasi pencarian dijalankan bermula dari lokasi mangsa dilaporkan lemas sehingga ke kawasan Cyber City.

“Syukur hari ini kita berjaya menemukan seorang mangsa di Sungai Moyog di Kampung Pagansakan, Inobong iaitu kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian mangsa dihanyutkan.

“Apa yang kita harapkan seorang lagi mangsa akan dapat ditemukan esok. Meskipun operasi ditangguh malam ini namun masih ada pencarian dijalankan di sekitar tebing sungai,” katanya.

Dalam tragedi kira-kira jam 3 petang semalam, kedua-dua mangsa dikatakan bersama empat lagi rakan terselamat cuba menyeberangi sungai berkenaan.

Bagaimanapun, ketika empat remaja terselamat sudah menyeberangi sungai berkenaan, kepala air tiba-tiba meluncur deras sehingga mengakibatkan paras air naik mendadak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|