Ketepikan dahulu isu PRU, tumpu kepada rakyat – PAS Sabah

Ketepikan dahulu isu PRU, tumpu kepada rakyat – PAS Sabah

Kota Kinabalu: Pas Sabah mengambil pendirian sama dengan Pas Pusat untuk mengenepikan terlebih dahulu isu berkaitan Pilihan Raya Umum (PRU).

Setiausahanya, Dr Aliakbar Gulasan berkata, ketika ini rakyat baru saja memulakan kehidupan mereka selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Saya melihat pandangan itu selari dan sama dan saya yakin rakyat juga mempunyai pandangan yang sama. Kita baru saja mula beralih kepada endemik dan tempoh ini masyarakat sedang sibuk mencari kelangsungan hidup untuk menjadi lebih bagus.

“Jadi kita ketepikan dahulu isu-isu pilihan raya dan politik. Kita tumpukan terlebih dahulu kepada rakyat, meningkatkan sosioekonomi rakyat dan juga kita mengadakan pelbagai insentif ke arah pembangunan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Pertandingan Bertitik Peringkat Bandar Raya Kota Kinabalu di Dewan Masyarakat Manggatal, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian beberapa pemimpin PAS Pusat yang bersetuju supaya PRU-15 tidak perlu disegerakan.

Diminta mengulas berhubung kerusi Parlimen yang disasarkan PAS Sabah, Aliakbar menjelaskan bahawa perbincangan mengenainya akan dilakukan apabila tiba masanya.

“Kita kekal bersama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kita akan terus membantu memperkukuhkan GRS.

“Bagaimanapun, berkaitan kerusi kita utamakan perbincangan bersama apabila tiba masanya nanti,” katanya.

Aliakbar pada awal Mei lalu menyatakan bahawa Pas Sabah akan meletakkan calon dan menyasarkan beberapa kerusi Parlimen dalam PRU akan datang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|