TPNS bukti keprihatinan GRS-BN kepada generasi muda

TPNS bukti keprihatinan GRS-BN kepada generasi muda

Kota Kinabalu: Usaha kerajaan negeri membantu anak Sabah untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melalui kutipan dana Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) adalah bukti keprihatinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) kepada generasi muda.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, inisiatif itu adalah sebuah usaha berterusan kerajaan negero dalam memastikan anak-anak Sabah yang kurang berkemampuan dapat melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Ramai-anak-anak muda, adik-adik kita yang tamat pengajian sekolah menengah atau Pra-U, bijak, dapat keputusan cemerlang dan ditawarkan untuk menyambung pengajian ke IPT, namun kadang kala terdapat kekangan yang menghalang iaitu dari segi kewangan.

“Inisiatif kerajaan GRS-BN melalui TPNS adalah sebuah usaha yang saya sendiri lihat mampu memberi manfaat dalam pembangunan modal insan khasnya anak-anak Sabah yang mahu menjejakkan kaki ke menara gading,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas inisiatif kerajaan melancarkan TPNS yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor semalam.

Menurut Khairul Firdaus lagi, kerajaan GRS-BN juga amat peka dan ingin anak-anak Sabah yang berpeluang untuk melanjutkan pengajian meneruskan usaha dan pengajian mereka tanpa dihalang oleh masalah kewangan.

“Kerajaan sentiasa mahu anak-anak Sabah yang mendapat peluang untuk menyambung pengajian terus ke depan, terima tawaran tersebut dan fokus kepada pengajian, tamatkan pengajian dengan cemerlang, banggakan negeri Sabah dengan kecemerlangan anda kerana anda semua adalah modal insan dan aset utama negeri Sabah.

“Ini juga termasuk dalam inisiatif hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mana TPNS ini adalah khas untuk anak-anak Sabah dari golongan B40 dan ini adalah berlainan dengan biasiswa sedia ada kerajaan negeri atau pinjaman yang disediakan oleh Yayasan Sabah,” katanya.

Tambah beliau lagi, TPNS yang juga merupakan sebuah inisiatif Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah (2015-2023) yang bertujuan untuk memberi lebih banyak tajaan bagi anak-anak Sabah yang bakal melanjutkan pengajian ke IPT selain sebuah usaha pembangunan yang memfokuskan kepada jangka masa panjang dan mampu membawa banyak manfaat kepada negeri Sabah.

“Dengan adanya TPNS, pastinya anak-anak Sabah yang menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian, mampu menerima tawaran tersebut dan keluarga mereka juga tidak perlu runsing memikirkan kos yang perlu dibelanjakan sepanjang tempoh pengajian anak mereka.

“Dan pastinya anak-anak Sabah yang selesai pengajian mereka kelak, akan menabur bakti kepada pelbagai sektor dan agensi tidak kira di dalam negeri atau luar negeri, dengan membawa identiti Sabah dan ini adalah suatu kebanggaan kepada kita semua apabila anak-anak kita berjaya kelak,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|