KPDNHEP tumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Penampang

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas minyak diesel bersubsidi bernilai RM60,487.75 dalam serbuan di sebuah stor di daerah Penampang, di sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan jam 1.40 pagi itu, pasukan operasi berjaya merampas 3,715 liter yang dipercayai cuba diselewengkan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sabah, Zulfamy Mat Udi berkata, serbuan dijalankan hasil risikan selama dua minggu berhubung kegiatan penyelewengan berkenaan.

Katanya, hasil serbuan dijalankan, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki yang memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda di hadapan stor berkenaan.

“Hasil pemeriksaan selanjutnya mendapati kenderaan berkenaan membawa lima tong jerikin yang mengandungi 165 liter minyak diesel.

“Pemeriksaan lanjut di dalam stor berkenaan membawa kepada penemuan 3,550 liter minyak diesel yang disimpan di dalam tangki-tangki plastik,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Zulfamy berkata, berdasarkan keterangan awal, premis berkenaan tidak mempunyai kebenaran dan sebarang lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

“Pasukan KPDNHEP kemudiannya bertindak menyita kenderaan pacuan empat roda, tangki-tangki yang berada di dalam stor, pam elektrik, hos getah dan 3,715 liter minyak diesel dengan nilai rampasan keseluruhan RM60,487.75.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan.

“Kes dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen,” katanya.

Menurutnya, siasatan juga akan dijalankan mengikut Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

Katanya, mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta

“KPDNHEP juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Zulfamy berkata, para pengusaha stesen minyak juga diingatkan supaya tidak menjual diesel bersubsidi dan RON 95 kepada pembeli yang tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada KPDNHEP.

Katanya, siasatan dan tindakan akan dibuat mengikut subperaturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, pelanggaran subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu selaku Peruncit barang kawalan tidak mematuhi arahan pengawal akan diambil ke atas mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati terlibat.

“KPDNHEP juga akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan petrol RON95 dan minyak diesel di negeri Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu juga boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian untuk tindakan segera,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|