Sorok rokok seludup dalam bangsal terbiar

Semporna: Taktik penyeludup menyembunyikan 180 karton rokok bernilai RM25,200 dalam bangsal terbiar di pesisir pantai Pulau Timbun Mata, di sini, gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila diserbu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), pagi tadi.

Serbuan itu dilakukan anggota Maritim Malaysia Zon Semporna menerusi Op Pluto Timur kira-kira jam 7.30 pagi.

Rokok yang cuba diseludup masuk ke Semporna.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi
Hassan berkata, hasil daripada maklumat risikan, Zon Maritim Semporna mengatur gerak bot ronda ke lokasi dan melaksanakan rondaan serta pemeriksaan di sekitar kawasan Pulau Timbun Mata.

Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, pasukan operasi mengesan serta menemui rokok putih tanpa cukai dipercayai cuba untuk diseludup masuk ke Semporna dengan
disembunyikan di dalam guni di bawah bangsal terbiar.

“Semua rokok putih yang ditemui berjumlah 180 karton dengan nilai RM25,200 dirampas untuk siasatan lanjut. Rokok berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi
mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana cubaan menyeludup masuk rokok putih tanpa cukai.

Sementara itu, Norrimi berkata, Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot spot’ terutamanya sekitar
sempadan perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI ke Sabah melalui jalan laut.

“Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan
atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke
Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau
MERS 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|