PH fail tuntutan hak Sabah di Mahkamah Tinggi

Kota Kinabalu: Seramai 12 wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah , masing-masing enam Ahli Parlimen dan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hari ini memfailkan tuntutan berkaitan hak Sabah di Mahkamah Tinggi, di sini.

Antara tuntutan yang dibuat adalah bagi mendapatkan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri yang dikutip kerajaan persekutuan supaya dikembalikan kepada Sabah.

Wakil rakyat PH Sabah memfailkan tuntutan hak Sabah di Mahkamah Tinggi.

Tindakan undang-undang yang difailkan di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu itu menamakan Kerajaan Persekutuan sebagai defendan pertama dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai defendan kedua.

Peguam yang mewakili PH, Nelson Angang berkata, mereka turut memohon pengisytiharan daripada mahkamah bahawa Sabah berhak mendapat 40 peratus hasil untuk ‘dihormati dan dipatuhi’ seperti yang tertera dalam Perlembagaan.

Katanya, hak hasil negeri ini yang termaktub dalam Perkara 112C dan Seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan masih terpakai dan boleh dikuatkuasakan.

“Selain itu, kita juga meminta kerajaan persekutuan mendedahkan kepada kerajaan negeri jumlah hasil bersih yang diperolehi dari Sabah setiap tahun.

“Pengisytiharan semakan mengikut Perkara 112D Perlembagaan mestilah berdasarkan jumlah yang mencerminkan dan menyamai nilai yang perlu dibayar kepada kerajaan negeri mengikut peruntukan perlembagaan,” katanya pada sidang media, di sini.

Nelson yang juga Setiausaha Agung UPKO berkata, mereka menuntut pengisytiharan bahawa pemberian khas RM26.7 juta bayaran tahunan untuk 1969 dan 1973 tidak boleh terus dikuatkuasakan dan mesti berdasarkan 40 peratus hasil untuk dikembalikan kepada kerajaan negeri.

Nelson berkata, tindakan itu dibuat berdasarkan kenyataan yang dibuat Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bahawa hak 40 peratus Sabah tidak lagi terpakai.

Katanya, mereka juga menuntut pengisytiharan mahkamah berhubung jaminan Perlembagaan untuk Sabah dari segi hasil.

“Kenyataan Menteri Kewangan di Parlimen jelas melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Kita tidak boleh lagi mengabaikan pelanggaran hak rakyat Sabah.

“Selepas 59 tahun, lapan daripada 10 daerah termiskin di Malaysia berada di Sabah dengan rekod kadar kemiskinan sebanyak 19.9 peratus berbanding tahap negara 5.6 peratus,” tegasnya.

Antara yang tampil membuat tuntutan itu ialah Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew dan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|