Hina sambutan Kaamatan: SKMM boleh terus bertindak

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh terus mengambil tindakan jika mengesan sebarang unsur penghinaan melalui media sosial, khususnya yang membabitkan isu kaum, agama dan sistem beraja.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata ia termasuk perbuatan menghina Kaamatan yang menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) di negeri ini.

Jelasnya, SKMM tidak perlu menunggu orang ramai untuk membuat laporan jika mengesan berlaku penyalahgunaan media sosial dan isu yang berkaitan dengan keselamatan siber di negara ini.

“SKMM memang diarahkan untuk memberi perhatian terutama kepada mereka yang menyentuh aspek 3R (race, religion dan royalty).

“Menghina sambutan Gawai dan Kaamatan memang sudah masuk dalam perkara ini, jadi SKMM tidak perlu menunggu orang buat laporan untuk mengambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Ekonomi Digital Industri Kreatif dan Komunikasi (MEDIKK) Bil 1/2022, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Yakub Khan.

Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan yang patut diambil bagi menangani salah guna media sosial untuk menghina budaya sesuatu kaum seperti sambutan Kaamatan.

Semalam, Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan peringkat negeri membuat laporan polis berhubung hantaran berbaur penghinaan di media sosial terhadap sambutan Kaamatan dan peserta Unduk Ngadau.

Annuar mendedahkan, ramai tidak menyedari tindakan diambil SKMM termasuk menyekat lebih satu bilion panggilan sebelum ini daripada memasuki sistem telekomunikasi negara berikutan isu keselamatan siber dan wujudnya unsur penipuan.

“Kita ada kaedah untuk memantau perkara yang berkaitan dengan keselamatan siber ini sepanjang masa. Malah, Malaysia kini di tangga kelima terbaik dalam kalangan negara seluruh dunia dari segi keselamatan siber dan kedua di ASEAN,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|