86.9 peratus liputan terkini 4G di Sabah

Kota Kinabalu: Liputan rangkaian internet 4G di Sabah kini mencapai 86.9 peratus bagi kawasan berpenduduk di seluruh negeri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, bagaimanapun berkata peratusan itu hanya merujuk kepada jangkauan liputan dan bukannya kualiti perkhidmatan.

Katanya, ia berikutan masih ada kawasan yang rendah kadar liputan 4G terutama apabila ramai pengguna dalam satu-satu masa.

“Contohnya, apabila ramai balik kampung sempena Kaamatan atau Hari Raya, penggunaan 4G di sesuatu kawasan meningkat menyebabkan kekuatan liputannya menguncup, malah bertukar menjadi tiada liputan.

“Namun, secara keseluruhannya liputan 4G di Sabah kini mencapai 86.9 peratus. Bagi liputan seluruh negara pula kita menyasarkan 96.9 peratus menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Ekonomi Digital Industri Kreatif dan Komunikasi (MEDIKK) Bil 1/2022, di sini, hari ini.

Sementara itu, Annuar berkata kementeriannya sedang mengkaji tiga jenis teknologi terkini untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar di kawasan terpencil yang tidak mendapat liputan kabel optik.

Tiga teknologi yang sedang dalam peringkat penelitian itu katanya ialah Satelit Low Earth Orbit (LEO), Radio Access Network dan TV White Space.

Beliau berkata, ketika ini hanya kemudahan Satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT) digunakan untuk menyediakan liputan jalur lebar di kawasan terpencil.

Jelasnya, penggunaan teknologi terkini itu bagi memastikan tiada kawasan tercicir daripada liputan internet atau teknologi digital di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Bagi kawasan terpencil yang tidak sampai di bawah program JENDELA biasa, kita meneliti teknologi yang ada. Selain 839 kawasan menggunakan teknologi satelit VSAT, kita juga meneliti beberapa teknologi terkini untuk pastikan jalur lebar sampai di kawasan terpencil,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|