Lelaki bunuh bapa kandung dipenjara 7 tahun

Tawau: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah menyebabkan kematian bapa kandungnya enam tahun lalu.

Tertuduh, Zulhijam Ali, yang berusia 27 tahun ketika kejadian dijatuhkan hukuman itu selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alwi Abdul Wahab selesai mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Zulhijam dibawa anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun kerana menyebabkan kematian bapa kandung.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada kira-kira jam 2 pagi 18 Mei 2017 di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Gading, Jalan Apas Wakuba, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana membunuh bapa kandungnya, Ali Nurdin, yang berusia 56 tahun ketika kejadian.

Sebelum ini, iaitu pada 8 Januari 2020, Mahkamah Tinggi Tawau memerintahkan Zulhijam dihantar ke Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu di bawah perkenaan Yang di-Pertua Negeri Sabah berdasarkan peruntukan Seksyen 348 (1) Akta Prosedur Jenayah.

Bagaimanapun keputusan berkenaan kemudian dirayu di Mahkamah Rayuan sebelum berjaya mewujudkan kes prima facie mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tertuduh kemudian dipanggil membela diri pada 25 April tahun ini dan keputusan akhir pada 3 Jun.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mensabitkan hukuman mengikut Seksyen 304 (a) kanun yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Hussin, manakala tertuduh diwakili peguam Philip Lee.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula tarikh jatuh hukum hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|