Kota Kinabalu: “Terima kasih kepada pasukan bomba dan semua yang tampil membantu menyelamatkan saya dan anak”.
Itu luahan penghargaan Rahima Ara, 39, kepada semua selepas terpaksa melahirkan anak seberat 2.59 kilogram di dalam kenderaan di Jalan Lintas, di sini, Khamis lalu.
Rahima berkata, dia dan keluarga turut menzahirkan rasa penghargaan kepada semua yang mendoakan kesihatan dan keselamatan mereka selepas kejadian berkenaan tular di laman sosial.
Katanya, detik cemas itu berlaku apabila kenderaan yang dipandu suaminya terperangkap dalam kesesakan jalan.
“Mengikut masa perkiraan, dia dijangka akan lahir sekitar 18 Jun depan dan anak ini dikatakan berada dalam keadaan songsang.
“Malah sehari sebelum itu, saya turut dipanggil ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas, di sini, untuk prosedur pusing bayi,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Kobusak, di sini, semalam.
Rahima berkata, pada hari kejadian, selepas mandi, dia tiba-tiba terasa sakit perut dan terus meminta suami menghantarnya ke hospital.
Katanya, bagaimanapun, perjalanan ‘tergganggu’ selepas terperangkap dalam kesesakan jalan.
“Suami ada cuba hon untuk meminta laluan dan banyak juga kenderaan membantu namun sudah tidak sempat,” katanya.
Sementara itu, antara individu yang tampil membantu ketika kejadian adalah Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan.
Farhan dikatakan menyedari kejadian itu ketika sedang dalam perjalanan menuju ke pejabat yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.
Menceritakan kembali kejadian ini, Farhan berkata, itu pengalaman peribadi pertama beliau untuk berdepan situasi berkenaan.
Namun katanya, pasukan bomba sememangnya dilatih untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kejadian atau kemungkinan.
“Kita harus sedar betapa pentingnya sikap mengambil peduli dan membantu mereka yang memerlukan.
“Kesedaran ini mampu membawa impak positif dan menyelamatkan nyawa yang terlibat,” katanya.
Farhan berkata, beliau turut menzahirkan penghargaan terima kasih kepada masyarakat awam yang tampil membantu ketika kejadian.
-Deasoka