Nelayan warga asing ditahan

Labuan: Seorang pekerja bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, semalam.

Lelaki terbabit ditahan dalam rondaan rutin Op Benteng dan Op Khas Pagar Laut 1/22, di kedudukan 2.7 batu nautika dari Pulau Tiga.

Tekong bot bersama semua kru ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, pasukan operasi mengesan sebuah bot nelayan tempatan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan berkenaan dikendalikan oleh 11 kru warga Filipina berusia lingkungan 15 tahun hingga 42 tahun.

“Pemeriksaan dokumentasi mendapati salah seorang daripada kru tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Tekong bot bersama semua kru kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nudin berkata, kes turut disiasat mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 dan Peraturan Peraturan Pelabuhan Dermaga 2008 (Kapal Kecil Berlesen Sabah).

Sehubungan itu, komuniti nelayan dinasihatkan supaya mengambil serius berkenaan permit yang sah bagi pekerja yang tinggal di Malaysia.

Katanya, ia adalah satu kesalahan jenayah yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan.

“Komuniti maritim juga dialu-alukan untuk melaporkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau melalui talian kecemasan MERS 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|