Kota Kinabalu: Pelbagai aspek perlu diteliti Barisan Nasional (BN) khususnya di Sabah bagi memastikan parti itu benar-benar telah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, bersedia bukan sekadar ungkapan yang mudah dilaungkan dengan sorakan tanpa perancangan yang rapi.
Katanya, persediaan itu merangkumi pelbagai aspek termasuk keupayaan sumber, persiapan jentera dan strategi untuk menang menundukkan lawan
“Pelbagai aspek perlu diteliti untuk BN agar benar-benar berada dalam kedudukan bersedia untuk menghadapi PRU-15 kerana matlamat utama kita adalah untuk mengambil alih semula pemerintahan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu bahawa beliau tidak akan melengahkan, walau sedetik pembubaran Parlimen sebaik saja BN sudah benar-benar bersedia.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berharap persediaan jentera BN khususnya di Sabah perlu dipertingkatkan dan menganggap PRU-15 sebagai agenda penting bagi menentukan masa depan parti dan negara.
“Ketika masa semakin hampir untuk menghadapi PRU-15 ini, segala gerak kerja dan persiapan perlu diperkemaskan sebaiknya.
“Selain kekerapan turun padang mendekati rakyat, daftar pengundi perlu dikemaskini termasuklah pengundi muda 18 tahun yang turut mempengaruhi bentuk sokongan kepada BN. Justeru pendekatan yang sesuai kepada golongan ini perlu diselaraskan agar mereka berpihak kepada BN,” katanya.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu turut mengingatkan jentera dan anggota parti BN di Sabah agar tidak berada di zon selesa walaupun telah melihat dua kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRN) Melaka dan Johor kerana situasi dan sikap pengundi adalah berbeza.
-Deasoka