Langgar syarat permit barang kawalan, dua ditahan

Labuan: Dua lelaki ditahan selepas dikesan menjalankan aktiviti pengendalian barang kawalan melebihi kapasiti permit yang dibenarkan dalam operasi di kawasan tebing laut, Ujung Pasir, di sini, semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 34 dan 57 tahun terbabit turut didapati beroperasi menggunakan permit tamat tempoh.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, kedua-dua suspek ditahan bersama sebuah lori dan beberapa tong berisi petrol.

Katanya, semua minyak petrol berkenaan dianggarkan bernilai RM66,025 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Tangkapan dilakukan mengikut Peraturan –Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana membawa barang kawalan melebihi kapasiti permit yang dibenarkan dan permit yang ada telah tamat tempoh.

“Kedua-dua suspek terus dibawa ke Markas Operasi PPM Labuan sebelum diserahkan kepada pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Saidul Maruf berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|