Penubuhan MRS bela hak artis tempatan Sabah

Kota Kinabalu: Music Rights Sabah Berhad (MRS) yang menjadi badan pelesenan muzik diiktiraf kerajaan pada awal tahun ini, akan memberi pembelaan sewajarnya kepada hak penggiat seni tempatan di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika menjelaskan perkara itu berkata dengan adanya badan berkenaan pengiat seni di Sabah diharap terus berkarya dalam bidang muzik atau sebagai penyanyi.

Hajiji merasmikan Program Riuh Bah! bersama Hotlink di SICC Kota Kinabalu.

“Penubuhan MRS pada Januari lalu tepat pada masanya untuk memberi pembelaan sewajarnya kepada artis-artis tempatan Sabah. MRS secara rasmi menjadi badan pelesenan muzik yang diiktiraf kerajaan bagi menjaga kebajikan artis tempatan dalam industri muzik di negeri ini.

“Badan ini diiktiraf untuk menjalankan aktiviti kutipan royalti mewakili penyanyi, pemuzik, pembuat video muzik dan syarikat rakaman tempatan membabitkan etnik di negeri ini.

“Justeru, dengan adanya badan ini, ia akan menggalakkan penggiat seni tempatan terus berkarya dan memartabatkan industri muzik tempatan di negeri ini,” katanya ketika merasmikan Program Riuh Bah! Bersama Hotlink di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri
Annuar Musa; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek; Pengerusi MyCreative Venture Sdn Bhd, Noor Azmi Mat Said dan Ketua Pegawai Eksekutif Maxis merangkap Rakan Strategik Utama RIUH BAH! Bersama Hotlink, Gokhan Ogut.

Hajiji berkata, tiada istilah lambat dalam soal mengiktiraf hak-hak anak seni di Sabah sebagai penyanyi atau pemuzik kerana usaha sentiasa digerakkan ke hadapan untuk mencari kaedah terbaik melindungi golongan berkenaan.

Sementara itu, Hajiji berkata program selama tiga hari itu pasti akan menjadi medan untuk merancakkan lagi industri kreatif di Sabah sekali gus memberikan manfaat kepada komuniti setempat serta rakyat secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar persatuan pelbagai etnik di Sabah terus memperkasa seni budaya, adat resam dan bahasa masing-masing agar tidak hanyut dengan kepesatan arus globalisasi.

“Hal ini penting agar kepelbagaian budaya di negeri ini terus diperkukuh dan tidak dipinggirkan oleh kemodenan dan kemajuan teknologi. Kita tidak boleh biarkan mana-mana etnik itu pupus begitu sahaja tanpa mengetahui kewujudannya.

“Saya percaya masih banyak lagi budaya dari segi tarian dan muzik pelbagai etnik di negeri ini yang belum diterokai untuk diketengahkan,” katanya.

Beliau juga berharap program `RIUH BAH! Bersama Hotlink’ itu akan membantu mempromosikan seni kreatif tempatan yang ada di Sabah untuk diangkat hingga ke peringkat antarabangsa.

“Semoga inisiatif kerajaan ini akan dapat merancakkan kembali aktiviti ekonomi berkaitan industri kreatif, khususnya di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|