AGM WARISAN perlu diadakan tahun ini – Shafie

AGM WARISAN perlu diadakan tahun ini – Shafie

Kota Kinabalu: Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Parti Warisan (WARISAN) perlu diadakan pada tahun ini juga, kata Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, pihaknya sudah memohon kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk penangguhan AGM namun ditolak dan pemilihan perlu dilakukan juga.

“Mesyuarat tadi kita perincikan, maklumkan kepada majlis tertinggi dan setiausaha agung akan edarkan surat pekeliling untuk membolehkan supaya perjalanan mesyuarat parti ini dilakukan pada tahun ini juga selaras dengan apa yang disarankan oleh RoS dan juga mengikut perlembagaan yang harus diadakan pada tahun ini.

“Kita telah putuskan supaya mulakan mesyuarat Cawangan-Cawangan mulai Jun ini dan susulan daripada itu mesyuarat Bahagian-Bahagian dan lepas itu mesyuarat Sayap-Sayap.

“Selepas itu AGM parti yang dijangka selesai Julai dan pada awal Ogos kemungkinan kita boleh adakan mesyuarat agung parti kita,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi WARISAN, di ibu pejabat WARISAN, Kolombong, di sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya jika sedia dicabar dalam pemilihan akan datang, Ahli Parlimen Semporna itu terbuka dengan sebarang cabaran daripada mana-mana ahlinya.

“Kalau pimpinan kita masih boleh diterima, kita terimalah. Tidak ada sekatan, tidak halangan kepada mana-mana pihak yang ada.

“Malah saya pun sudah maklumkan kepada timbalan saya (Timbalan Presiden WARISAN Datuk Darell Leiking), kalau nak lawan ketua pun tiada masalah bagi saya,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa WARISAN mengamalkan prinsip demokrasi dalam pemilihan parti itu.

“Kita ada sistem demokrasinya. Saya sudah maklumkan dalam ahli majlis tertinggi, tiada masalah dengannya,” jelasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|