Kota Kinabalu: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sentiasa memberi keutamaan kepada Sabah dan Sarawak termasuk mempersiapkan kedua-dua negeri itu menjadi sebahagian daripada rangkaian telekomunikasi utama di Borneo.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, keutamaan itu juga termasuk membabitkan kabel dasar laut dan pembentukan pusat data yang turut dibincangkan bersama pelabur di Singapura baru-baru ini.
Katanya, kedudukan negeri-negeri di Borneo dijangka mengalami perubahan positif berikutan langkah Indonesia yang memindahkan ibu negaranya ke Borneo dan tumpuan kerajaan Pusat untuk pembangunan wilayah Sabah dan Sarawak.
“Kabel dasar laut terkait dengan rangkaian kabel dasar laut antara benua, antara negara-negara dan sekarang ini kita mendapati kedudukan negeri-negeri di Borneo yang sedang mengalami suatu perubahan positif.
“Dua hari lalu saya ada pertemuan dengan Menteri Komunikasi Brunei dan Indonesia di Singapura bahawa kita semua bersepakat dan bersetuju bahawa Borneo dan negeri-negeri termasuk Sabah, Sarawak, Kalimantan (Indonesia), Brunei dan juga Labuan akan menjadi satu kawasan strategik pada masa akan datang.
“Ini bermakna, persiapan untuk negeri-negeri ini menjadi sebahagian daripada rangkaian utama termasuk rangkaian kabel dasar laut juga adalah satu perkara yang diutamakan.
“Begitu juga pembentukan pusat data dan yang berkaitan dengannya dalam perbincangan saya dengan pelabur ketika di Singapura,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam sempena mesyuarat Majlis Ekonomi Digital, Industri Kreatif dan Komunikasi (MEDIKK), di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berhubung harapannya supaya satu kabel dasar laut dapat dipertimbangkan bagi memastikan kesalinghubungan yang mantap, konsisten dan berdaya saing di Sabah.
Annuar berkata, perancangan berhubung kabel dasar laut terbahagi kepada dua jenis iaitu membabitkan rangkaian antara dalam negara dan juga laluan melibatkan rentas benua.
“Satu, yang menyambung dengan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak iaitu secara dalamannya melibatkan syarikat tempatan selain Sabah dan Sarawak berada pada posisi untuk menjadi laluan jaringan kabel dasar laut yang melibatkan rentas benua atau negara.
“Kita telah pun mendapat sekurang-kurangnya dua ‘inquiries’ daripada syarikat antarabangsa yang besar dan sedang membuat kajian terakhir mereka untuk membina rangkaian kabel dasar laut dari Malaysia dan merentasi Laut China Selatan sehingga ke Utara Jepun dan negara Amerika,” katanya.
-Deasoka