Tongod jadi koridor pembenihan ikan sungai di Sabah

Tongod jadi koridor pembenihan ikan sungai di Sabah

Tongod: Kawasan hutan hujan tropika di daerah ini yang terdapat banyak cabang sungai di kenal pasti sebagai koridor pembenihan ikan sungai mampu menyumbang hasil berskala besar di Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, kewujudan rangkaian sungai merentasi jajaran hutan simpan di daerah itu sesuai untuk penetasan dan pembenihan habitat hidupan sungai secara holistik.

Masiung melepaskan benih anak ikan pada majlis pelancaran pembentukan lapan Jawatankuasa Tagal Tradisi di Kampung Entilibon Asal, Tongod.

“Hasil kajian Jabatan Perikanan telah mengenal pasti konsep tagal tradisi yang dinaik taraf sebagai kaedah jangka panjang untuk meningkatkan populasi ikan air tawar,” katanya selepas melancarkan pembentukan lapan Jawatankuasa Tagal Tradisi di Kampung Entilibon Asal, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Azhar Kassim .

Dalam majis itu, Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) turut melepaskan sebanyak 2,500 benih ikan sungai pelbagai spesies sebagai simbolik pelancaran majlis berkenaan.

“Kempen pemuliharaan ikan air tawar diperluaskan menerusi teknologi akuatik kerana kaedah ini bukan sahaja menyumbang kepada industri perikanan namun dilihat mempunyai nilai komersial yang tinggi dalam eko-pelancongan.

“Kempen mewujudkan Tagal secara tradisi akan diperluaskan kerana ia merupakan perkongsian pintar antara komuniti dan kerajaan secara bersapadu,” katanya.

Katanya lagi, populasi ikan yang diternak secara tradisi boleh meletakkan daerah itu sebagai pusat pengeluar ikan sungai yang terpenting di Sabah jika semua jawatankuasa tagal sentiasa mematuhi arahan Jabatan Perikanan.

“Ekologi dan habitat semulajadi yang wujud di sungai berkenaan hendaklah dikekalkan supaya eko-sistem perikanan tidak tercamar,” katanya.

Beliau dalam pada itu mahukan Jabatan Perikanan mengadakan kursus dan latihan kepada jawatankuasa tagal tradisi yang telah dibentuk supaya mereka lebih berpengalaman dalam memajukan pembenihan ikan sungai.

Terdahulu, empat jawatankuasa tagal yang dibentuk adalah dari Kampung Entilibon Asal, dua dari Kampung Napagang dan masing-masing satu di Mananam dan Maliau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|