Pemilihan PBS: Maximus undur diri tiga tahun lagi, calon pengganti diketahui Khamis ini

Pemilihan PBS: Maximus undur diri tiga tahun lagi, calon pengganti diketahui Khamis ini

Kota Kinabalu: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata beliau akan mengundur diri dalam jangka masa tiga tahun selepas penggantinya dikenal pasti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu menjelaskan tempoh itu bagi membolehkan parti menentukan siapa pemimpin yang sesuai untuk mengetuai PBS selepas pengundurannya nanti.

Maximus bersama pemimpin dan perwakilan PBS pada Persidangan Agung Tahunan Pergerakan Wanita dan Pemuda PBS Ke-36 dan Ke-37 di Kota Kinabalu.

“Saya akan terus jadi presiden sehingga kongres parti yang akan datang tetapi sebelum atau apabila tiba kongres itu nanti kita akan kenal pasti siapa presiden yang akan datang.

“Jangka masa ini untuk memberikan masa bagi melatih dan mengenal pasti siapa yang berkelayakan bagi menduduki jawatan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Pergerakan Wanita dan Pemuda PBS Ke-36 dan Ke-37, di sini, hari ini.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata, siapa calon yang bakal menggantikan beliau akan diketahui selepas selesai pemilihan parti itu, Khamis ini.

Berdasarkan amalan parti itu sebelum ini, pengganti jawatan presiden diumumkan lebih awal sebelum pemimpin terbabit dilantik seperti dilakukan presiden terdahulu, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang menamakan Maximus sebagai pengganti atau pemangku presiden kira-kira setahun sebelum jawatan presiden diserahkan secara rasmi kepadanya pada November 2018.

Ketika itu, Maximus adalah Timbalan Presiden PBS yang menjawat jawatan berkenaan selama 25 tahun.

Sementara itu, pada pemilihan PBS Khamis ini, Maximus mengekalkan jawatan presiden tanpa bertanding, manakala Naib Presidennya yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam bakal bersaing dengan Setiausaha Agung, Datuk Joniston Bangkuai bagi jawatan Timbalan Presiden kuota Bumiputera bukan Islam.

Pemenangnya dijangka menjadi calon pengganti presiden jika PBS mengekalkan tradisi memilih presiden dalam kalangan Bumiputera bukan Islam berikutan ada dua lagi jawatan Timbalan Presiden masing-masing untuk kuota Bumiputera Islam dan bukan Bumiputera.

Ketika ini jawatan Timbalan Presiden bagi Bumiputera bukan Islam disandang Datuk Radin Maleh, namun difahamkan beliau tidak mempertahankan jawatan itu, manakala dua lagi jawatan Timbalan Presiden masing-masing disandang Datuk Jahid Jahim dan Datuk Dr Yee Moh Chai.

Jahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah dijangka mengekalkan jawatan itu tanpa bertanding manakala Moh Chai yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri ditentang Datuk Edward Yong Oui Fah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|