Fahami fungsi PIBG ke arah kemajuan sekolah

Fahami fungsi PIBG ke arah kemajuan sekolah

Kota Kinabalu: Ibu bapa perlu memahami fungsi dan kepentingan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) yang ditubuhkan badan yang sah menghubungkan ibu bapa dengan guru, sekolah, masyarakat dan pelajar.

Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri / Menteri Kerja Raya, Datuk Dr Fadilah Sabri berkata, peranan PIBG adalah sebagai pemantau dan penilai terhadap perjalanan sekolah.

Fadilah (tiga kiri) bersama Abdul Ghani, Afendi dan sebahagian AJK PIBG SK Tobobon pada Mesyuarat Agung PIBG sekolah berkenaan.

“Dalam erti kata yang lain ahli PIBG boleh berfungsi sebagai penilai terhadap prestasi sekolah sama ada dalam hal-hal akademik mahupun kokurikulum.

“Keaktifan aktiviti sekolah boleh diukur melalui peranan PIBG seiring dengan keperluan sekolah, guru dan pembangunan pelajar,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Tobobon, Manggatal, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Guru Besar SK Tobobon, Ag Ghani Ag Bakar dan Yang Dipertua PIBG SK Tobobon, Afendi Hadis.

Menurut Fadilah yang juga Ketua Puteri UMNO Sabah, sumbangan moral juga penting bagi mendorong pelajar untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.

“Antara sokongan moral yang boleh diberikan oleh ibu bapa ialah dengan menghadiri Mesyuarat Agung serta memberi pendapat, sentiasa mengambil tahu mengenai anak mereka di sekolah dan memberi sumbangan tenaga melalui permuafakatan daripada aktiviti sekolah seperti kem motivasi dan sebagainya,” katanya.

Fadilah berkata, empat fungsi PIBG untuk menjalankan aktiviti atau program bagi mencapai tujuan persatuan yang dinyatakan di Perenggan 3 Akta Pendidikan 1996 seperti membantu dalam memajukan perkembangan pelajar dan menjaga kebajikan pelajar.

Turut digariskan katanya ialah menambahkan sumber kewangan sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di sekolah; meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara sekolah dengan masyarakat serta meningkatkan keceriaan premis sekolah bagi mewujudkan suasana kondusif menjayakan aktiviti dan program pendidikan.

“Dalam hubungan ini Kementerian Pendidikan turut mewujudkan sarana ibu bapa dan sekolah sebagai insiatif untuk menyatukan setiap pihak yang berkepentingan termasuk ibu bapa dan masyarakat bagi melahirkan modal yang berkualiti dan global melalui sekolah.

“Sarana ini menjadi instrumen ibu bapa menilai tahap pembabitan mereka dalam meningkatkan pembelajaran pelajar, seterusnya ibu bapa diberikan panduan mendidik anak dengan adanya contoh amalan terbaik.

“Di bawah program sebegini, Biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) perlu diwujudkan bagi membantu ibu bapa melalui perkongsian buah fikiran dan menangani setiap isu di bawah struktur PIBG sedia ada,” katanya.

Tambah Fadilah, KSIB ialah saluran kerjasama dan komunikasi merapatkan hubungan di antara ibu bapa, pelajar dan sekolah serta lebih banyak interaksi, kerjasama perkongsian dan percambahan ilmu dapat berlaku

“Pada era ‘new media’ ini, Facebook, Twitter, WhatsApp, Skype, SMS, MMS mahupun video phone komunikasi dapat dijadikan medan penyebaran maklumat antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, sudah tiba masanya Yang Dipertua PIBG, guru besar, guru dan ibu bapa bijak mengaplikasi kekuatan medan komunikasi media baharu sebagai daya tarikan interaktif kepada ibu bapa masa kini demi kelangsungan kecemerlangan PIBG.

Jelasnya, ia antara mekanisme penting dalam mewujudkan pendidikan yang berkualiti di sekolah selain interaksi langsung antara guru, sekolah dan ibu bapa untuk mengetahui perkembangan serta kemajuan pendidikan anak-anak di sekolah.

Dalam perkembangan lain, beliau menyarankan PIBG sebagai sebuah organisasi yang berwibawa menubuhkan tabung pendidikan untuk pelajar di sesebuah sekolah.

Katanya, Tabung itu boleh diisi bukan sahaja menerusi sumbangan ahli persatuan bahkan juga oleh ahli korporat dan individu tertentu sebagai dana untuk kebajikan dan manfaat sekolah serta pelajar.

“Ini termasuklah sumbangan kepada pelajar miskin, yatim dan ditimpa kemalangan. Dengan dana yang ada, prasarana pendidikan di sekolah dapat ditambah dan ditingkatkan.

“Hasilnya, pelajar dan warga sekolah amnya dapat memaksimunkan tenaga ke arah kecemerlangan dalam pendidikan dan sekali gus merealisasikan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP) yang dicita-citakan,” katanya

Di samping itu menurut Fadilah PIBG juga boleh mengadakan seminar dan kem motivasi untuk pelajar di setiap sekolah.

Program seperti itu, katanya penting demi memberi kesedaran dan semangat kepada pelajar untuk terus belajar dan berjaya, manakala pelajar yang bermasalah pula boleh disedarkan menerusi kem bina semangat dan kaunseling.

“Melalui kegiatan seperti ini diharapkan pelajar akan berasa insaf dan kembali bersaing dengan rakan-rakan dalam pelajaran. Ekoran itu, kita bukan sahaja dapat mengurangkan gejala salah laku atau meningkatkan prestasi akademik pelajar, malahan sekolah akan dapat melahirkan generasi muda yang bersahsiah tinggi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|