Remaja maut, motosikal rempuh besi penghadang jalan

Remaja maut, motosikal rempuh besi penghadang jalan

Kota Kinabalu: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang di Jalan Coastal, berhampiran pusat beli belah Centre Point, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun yang menunggang motosikal Yamaha LC dikatakan bergerak dari Jalan Lintas menuju ke pusat bandaraya.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Difahamkan, mangsa baru balik dari tempat kerjanya dan menuju ke lokasi berhampiran kejadian untuk mencari makanan lewat malam.

Menurut sumber, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan.

Katanya, akibat daripada kejadian itu, mangsa terus merempuh besi penghadang di tepi jalan berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah di badan dan kepala.

“Pasukan polis dan paramedik yang hadir membantu di lokasi kejadian kemudiannya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,”katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan selanjutnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|