Tongod bakal pengeluar utama produk daging khinzir di Asia Pasifik

Tongod bakal pengeluar utama produk daging khinzir di Asia Pasifik

Tongod: Daerah ini bakal menjadi pengeluar utama produk daging khinzir yang terpenting di rantau Asia Pasifik, sebaik sahaja projek ternakan khinzir seluas 500 ekar dibina di Kampung Entilibon bermula pertengahan tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, sebuah syarikat tempatan telah bersetuju menjalinkan perjanjian usahasama dengan kerajaan negeri berhubung pelaburan projek bernilai lebih RM200 juta itu.

Masiung (kanan) disambut penduduk sejurus tiba merasmikan majlis dialog di Kampung Entilibon, Tongod.

“Operasi projek veteriner itu menggunakan sepenuhnya teknologi moden daripada negara Denmark,” katanya ketika merasmikan Majlis Dialog bersama penduduk terlibat di Dewan Terbuka Entilibon, kelmarin.

Menurut beliau, industri penternakan itu kemudiannya akan dibina dengan kilang pemprosesan dan pembungkusan daging khinzir bermutu tinggi untuk pasaran dalam dan luar negara bagi fasa kedua.

Jelasnya, pemilik tanah yang terlibat dengan projek itu telahpun selesai diberi pempasan selepas bersetuju menandatangani perjanjian dengan syarikat pemaju selama 50 tahun.

“Bagi fasa pertama, projek ternakan khinzir ini akan mengambil masa dua tahun merangkumi kawasan 200 ekar, manakala selebihnya 300 ekar akan dilaksanakan dalam fasa seterusnya.

“Syarikat pemaju projek itu juga turut bersetuju mengambil pekerja tempatan di kalangan penduduk daerah Tongod, sambil memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera menjalankan kerja-kerja bersekala kecil dan sederhana.

“Kewujudan industri veteriner itu mampu mewujudkan lebih 1000 peluang pekerjaan dan ia juga dijangka memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Masiung turut mengingatkan syarikat pemaju supaya memberi keutamaan kepada warga Kuamut untuk bekerja di syarikat tersebut.

Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veteriner Sabah, Dr Jamaun Angkop; Penolong Pegawai Daerah Tongod, Floren Sian Padasan dan Pengarah Urusan Tongod Farm Sdn Bhd, Datuk Vencent Tan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|