Beri peluang Kerajaan Perpaduan perintah negara

Beri peluang Kerajaan Perpaduan perintah negara

Kota Kinabalu: Rakyat seharusnya memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk memerintah dan membuktikan kesungguhan mereka memimpin negara.

Ketua Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang, berkata walaupun ada segelintir pihak tidak berpuas hati terutama dalam pelantikan barisan menteri Kabinet, ia tidak seharusnya dijadikan isu untuk menghukum kerajaan baharu sebelum mereka membuktikan keupayaan mentadbir negara.

“Kita faham ramai yang tertanya-tanya dan tidak bersetuju dengan beberapa lantikan Kabinet tetapi rakyat harus sedar, kerajaan hari ini dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan bukannya Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Tanpa gabungan parti-parti politik, Kerajaan Perpaduan tidak akan terbentuk dan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak akan diangkat sebagai Perdana Menteri yang ke-10,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Felix berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan juga adalah atas titah saranan Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara.

Tegasnya, titah dan hasrat yang dizahirkan Baginda Yang di-Pertuan Agong perlu dihormati oleh semua pihak.

“Namun, Pemuda UPKO menegaskan mana-mana pemimpin yang mempunyai kes rasuah atau salah guna kuasa harus dihadapkan ke mahkamah. Institusi kehakiman negara mesti bebas tanpa campur tangan politik.

“Pemuda UPKO turut menuntut agar tawaran-tawaran PH harus dilaksanakan segera terutama sekali isu mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan juga isu menangani peningkatan kos sara hidup untuk mengurangkan beban rakyat,” katanya.

Selain itu katanya, ekonomi negara perlu dipulihkan secepat mungkin dan kebajikan rakyat perlu jadi keutamaan.

“Saya percaya apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini adalah antara langkah untuk membantu memulihkan ekonomi negara ini.

“Kita juga mahu agar keharmonian dan keamanan negara sentiasa terjamin di bawah Kerajaan Perpaduan. Kepelbagaian kaum dan agama seharusnya menjadi tunjang dan kekuatan negara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|