Tolonglah Federal, Sabah Sarawak bukannya tong sampah – Isnaraissah Munirah

Tolonglah Federal, Sabah Sarawak bukannya tong sampah – Isnaraissah Munirah

Kota Kinabalu: Tindakan menjadikan Sabah dan Sarawak seolah-olah sebagai ‘tong sampah’ dengan menghantar penjawat awam bermasalah ke sini mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Isnaraissah meminta supaya kerajaan tidak melakukan perkara itu kepada Sabah dan Sarawak.

“Tolonglah Federal, Sabah Sarawak bukannya tong sampah.

“Sudahlah kami tertinggal dari segi infratruktur, takkanlah dari segi perkhidmatan pun kamu kasi kami orang yang bermasalah,” tulisnya hari ini.

Tambah beliau lagi, Sabah mungkin tidak akan maju jika dilayan sedemikian.

“Sampai bila kami mahu maju? Berhenti layan kami seperti ini,” katanya.

Sebelum itu, dalam hantarannya turut dikongsikan pautan berita Sinar Harian yang melaporkan sembilan anggota polis terlibat kes peras ugut ditukar ke Sabah dan Sarawak.

Sembilan anggota berkenaan disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor.

Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sakikala Devi menerusi sesi wawancara khas Sinar Harian hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|