Pecah rumah, remaja warga asing ditahan

Pecah rumah, remaja warga asing ditahan

Tawau: Seorang remaja warga asing ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam dua kes pecah rumah sekitar kawasan Brumas, di sini, semalam.

Malah ketika ditahan, remaja berusia 16 tahun terbabit turut bertindak menyerahkan telefon bimbit dan wang tunai yang dipercayai hasil jenayah yang baru dilakukannya.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, remaja terbabit ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai yang dibantu anggota Polis Bantuan Sabah Softwood.

Katanya, siasatan awal polis turut mendapati suspek seorang warganegara asing yang masuk dan tinggal di negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Suspek terus ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|