Konsert Kupikupi FM kembali gegar pentas KDCA

Konsert Kupikupi FM kembali gegar pentas KDCA

Kota Kinabalu: Selepas dua tahun menyepi akibat pandemik Covid-19, Konsert Kupikupi FM kini kembali untuk menggegarkan pentas Dewan Hongkod Koisaan KDCA, Sabtu ini.

Konsert percuma untuk orang ramai itu bakal menampilkan artis-artis popular tanah air termasuk kumpulan Estranged, HyperAct, Marsha Milan, Velvet Aduk, Elica Paujin, Francis Landong dan Dabra Sia.

Pengurus Besar Kupikupi FM, Lester Calvin Miol berkata, pihaknya kembali mengetengahkan artis-artis tempatan dalam konsert kali ini seperti penganjuran pertamanya pada 2016.

“Kami kembali ke akar umbi untuk konsert ini, kami menampilkan 14 penyanyi tempatan daripada pelbagai genre muzik.

“Sungguh menggembirakan buat kami di Kupikupi FM kerana akhirnya dapat membawa kembali hiburan konsert kepada rakyat Sabah selepas dua tahun penangguhan akibat Covid-19.

“Kami turut berharap dengan adanya konsert ini, ia dapat memberikan senyuman dan keterujaan kepada peminat serta pendengar setia kami terutamnya di Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lester turut mengingatkan orang ramai yang hadir menyaksikan konsert itu supaya menjaga keselamatan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka dan sanitasi diri setiap masa.

“Kami mensasarkan seramai kira-kira 10,000 pengunjung akan hadir menyaksikan konsert ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, konsert kali ini turut mendapat sokongan syarikat Celcom
Axiata Berhad (Celcom) dan syarikat penergangan Firefly.

Katanya, sebanyak lima tiket penerbangan percuma disediakan sebagai cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir pada hari berkenaan.

“Kita juga membawakan Singgah Kupi-Kupi, karnival makanan, “car booth sale” dan pelbagai aktiviti menarik yang akan turut memeriahkan konsert di perkarangan KDCA bermula jam 10 pagi dan akan dibuka sepanjang hari,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|