Kastam Sabah rampas 52 kilogram syabu bernilai RM1.888 juta

Kastam Sabah rampas 52 kilogram syabu bernilai RM1.888 juta

Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah, berjaya merampas 52 kilogram dadah jenis methampetamine atau syabu dalam Operasi Khas Mekong Dragon Siri IV, 28 Julai lalu.

Dalam operasi jam 12.12 tengah hari itu, semua dadah yang dianggarkan bernilai RM1.888 juta itu dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di ibu negeri ini.

Zazuli menunjukkan peralatan elektrik dapur dipercayai digunakan untuk menyembunyikan dadah syabu.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, serbuan yang dijalankan atas maklumat Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) itu turut berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati, modus operandi kes berkenaan adalah menjadikan rumah yang diserbu sebagai lokasi untuk melakukan proses pembungkusan dadah.

Zazuli ketika sidang media susulan kejayaan tangkapan dan rampasan dadah seberat 52 kilogram syabu di Kota Kinabalu.

“Semua dadah berkenaan dimasukkan ke dalam plastik teh dan seterusnya melalui proses kedap udara dengan jumlah berat tertentu.

“Ia kemudiannya disembunyikan di dalam kotak peralatan elektrik dapur dipercayai bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Dewan Sri Khazali, Menara Kastam di sini, hari ini.

Zazuli berkata, siasatan turut mendapati semua dadah itu dipercayai untuk kegunaan dalam serta luar negeri.

Katanya, siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“JKDM Sabah amat komited dalam menangani sebarang aktiviti yang melibatkan penyeludupan dadah,” katanya.

Sementara itu, Zazuli berkata, masyarakat digesa supaya membantu pihak JKDM dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan khususnya membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan yang bukan saja merugikan hasil negara tetapi juga mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan, identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|