Tangkap buaya ancam keselamatan penduduk – Bung Moktar

Tangkap buaya ancam keselamatan penduduk – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah (JHLS) diminta mengambil tindakan proaktif untuk menangkap buaya di Sungai Kinabatangan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata langkah itu perlu demi keselamatan penduduk yang mencari rezeki di sungai berkenaan.

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa serangan buaya di yang ditemui dalam keadaan tidak sempurna di Kinabatangan, Ahad lalu.

“Kita mahu pihak berkuasa mengambil tindakan proaktif dan serius untuk menangani isu ini bagi memastikan penduduk yang menggunakan sungai Kinabatangan sama ada untuk laluan atau sebagai lokasi mencari sumber pendapatan seharian melalui aktiviti memancing dan sebagainya tidak terancam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lalu seorang wanita maut dibaham buaya ketika keluar memancing di sebatang anak Sungai Kinabatangan di Kampung Tanjung Bulat Sinar Jaya, di sini.

Mayat mangsa, Norsila Sayong, 32, ditemui dalam keadaan tidak sempurna pada jam 6.53 pagi Ahad lalu oleh penduduk kampung iaitu kira-kira 800 meter dari lokasi mangsa diserang haiwan reptilia itu.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata kejadian itu bukan yang pertama berlaku, malah sudah ramai mangsa menjadi korban brrikutan keganasan buaya di Sungai Kinabatangan.

Sehubungan itu, katanya tindakan segera untuk menangani isu itu perlu diambil oleh pihak berkuasa agar keselamatan penduduk di kawasan terbabit terjamin.

Beliau menambah, kerajaan perlu mengambil langkah dengan mewujudkan peraturan atau akta seperti dilakukan kerajaan Sarawak dalam menangani isu buaya yang terdapat di beberapa sungai di Sabah khususnya di Kinabatangan.

Katanya, pendekatan di Sarawak yang membenarkan menangkap dan membunuh buaya secara berkala serta sistematik bagi mengurangkan jumlah haiwan itu boleh dilaksanakan di Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu menambah susulan kejayaan Malaysia menurunkan taraf kategori buaya daripada Apendiks I kepada Apendiks II pada mesyuarat Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES) di Afrika Selatan, ia diharap membolehkan buaya di Sabah diburu serta diperdagangkan.

“Saya berharap satu kajian akan dapat dilakukan oleh pihak berkuasa mengenai isu ini dan tindakan susulan akan dapat kita lakukan bagi mengurangkan populasi buaya di negeri ini demi menjamin keselamatan penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan berhampiran sungai,” katanya.

Sambil menzahirkan ucapan takzih dan rasa simpati kepada keluarga mangsa terbaharu dibaham buaya di Kampung Tanjung Bulat Sinar Jaya, di sini, Bung Moktar berharap keluarga mangsa bersabar menerima ujian itu dan menasihatkan penduduk di kawasan terlibat supaya berhati-hati ketika melakukan aktiviti di sungai bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|