Lori rempuh rumah, sembilan sekeluarga selamat

Lori rempuh rumah, sembilan sekeluarga selamat

Tuaran: Sembilan sekeluarga terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas rumah mereka roboh akibat dirempuh sebuah lori dalam kejadian di Jalan Ranau, Kampung Kapa Tamparuli, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, pemandu dan kelindan lori bagaimanapun cedera apabila kenderaan mereka terjatuh ke dalam gaung setinggi 500 meter selepas merempuh rumah berkenaan.

Lori terjatuh ke dalam gaung setinggi 500 meter.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.48 pagi.

Katanya, seramai 15 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans.

“Lori treler berkenaan terbabas sendiri sebelum merempuh rumah mangsa sehingga menyebabkan runtuhan sehingga 90 peratus keseluruhan struktur rumah.

“Lori berkenaan kemudiannya terjatuh ke dalam gaung setinggi 500 meter dan menyebabkan pemandu cedera ringan manakala kelindan pula mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera terus diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital menggunakan Jentera EMRS dan Ambulans.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.50 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|