Dua mangsa scammer rugi RM250,000 ditipu lelaki dikenali sebagai Chin

Dua mangsa scammer rugi RM250,000 ditipu lelaki dikenali sebagai Chin

Kota Kinabalu: Dua mangsa penipuan (scammer) meminta pihak polis menyiasat dan seterusnya menahan seorang lelaki yang memperdayakan mereka sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM253,000.

Dua mangsa berkenaan masing-masing dikenali sebagai Sally, 27 dan Wong, 31, diperdaya oleh lelaki yang sama dikenali sebagai Chin berasal dari Sarawak dan perkara itu hanya diketahui apabila mereka membuat aduan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang baru-baru ini.

Menurut Sally, mereka berkenalan pada 2019 menerusi aplikasi media sosial dan menjalinkan hubungan cinta sehingga menyebabkan dia meminjamkan wang sebanyak RM150,000 kepada lelaki berkenaan.

“Lelaki itu merayu supaya saya meminjamkan wang kepadanya dengan alasan dia perlu menjalani pembedahan akibat kanser.

“Dia mula meminjam wang sejak 2019 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM150,000. Pinjaman wang itu dilakukan melalui transaksi dalam talian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP Sabah, di sini, semalam.

Wanita yang bekerja sebagai jurujual itu memaklumkan bahawa dia pernah berjumpa lelaki berkenaan namun tidak menyedari dia adalah individu yang sama dikenalinya dalam aplikasi media sosial.

“Namun, saya tidak menyedari dia adalah individu sama yang dikenali melalui aplikasi Tinder. Saya hanya tahu selepas menyedari ditipu lelaki berkenaan.

“Saya tampil mendapatkan bantuan ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe, berjumpa dengan seorang lagi mangsa yang didakwa ditipu oleh lelaki yang sama,” katanya.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Robert, 31, memberitahu dia mengenali Chin selepas dia berpindah ke sebelah rumahnya.

Katanya, Chin mengajaknya untuk menyertai pelaburan saham secara dalam talian.

“Pada awalnya saya tidak begitu yakin dengan pelaburan itu namun, selepas mendengar penjelasannya akhirnya saya turut terpedaya.

“Kesemua wang untuk pelaburan berjumlah RM103,000 itu diberikan secara tunai kepada Chin dalam beberapa pertemuan antara Mac hingga Mei lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Robert mula curiga apabila Chin semakin sukar ditemui dan kali terakhir berhubung dengannya, dia memaklumkan sedang menjalani rawatan akibat pembedahan kanser.

Robert kemudian membuat laporan polis pada 25 Julai lalu apabila dia rasa diperdaya namun dalam masa sama tidak menyangka ada mangsa lain turut ditipu oleh Chin.

Sementara itu, Jin Zhe yang juga Setiausaha DAP Sabah menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati apabila membuat sebarang transaksi wang secara online kepada individu tidak dikenali.

“Sekiranya rasa sangsi, terus dapatkan nasihat polis untuk mengelak jadi mangsa scammer seperti yang berlaku kepada dua individu ini. Saya percaya lelaki dikenali sebagai Chin itu masih bergiat aktif mencari mangsa di sekitar pusat bandar raya ini.

“Setiap minggu, pejabat saya menerima antara tiga atau empat kes mangsa ditipu oleh scammer. Kes penipuan di sekitar bandar raya ini begitu tinggi maka, masyarakat harus sentiasa berwaspada supaya tidak menjadi mangsa scammer,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|