Penghantar makanan ditawar jadi guru agama

Penghantar makanan ditawar jadi guru agama

Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19 terharu apabila menerima tawaran sebagai guru agama di Sekolah Agama Negeri (SAN) Karakit, Pulau Banggi, Kudat.

Mohd Danyal Naqiuddin Zulkifli, 25, berkata, dia antara yang terjejas akibat pandemik selepas kehilangan kerja di sebuah agensi perkhidmatan umrah dan haji pada tahun 2020.

Ahmad Khairi ketika menerima surat penempatan mengajar daripada Mohd Ariffin dalam majlis di Dewan Saadah Wisma Muis, Kota Kinabalu.

“Sebelum pandemik Covid-19, saya bekerja di sebuah agensi perkhidmatan umrah dan haji tetapi terpaksa berhenti apabila syarikat terpaksa menutup bahagian operasi.

“Saya kemudian meneruskan usaha mencari rezeki dengan bekerja sebagai ‘rider foodpanda’ selama dua tahun sebelum menerima panggilan temuduga daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN) dan akhirnya diterima serta dilantik menjadi guru agama baru-baru ini,” katanya ketika menerima surat penempatan sekolah di Dewan Saadah, Wisma MUIS, semalam.

Tambah Mohd Danyal lagi, beliau berazam untuk mendidik anak bangsa demi agama Islam supaya mereka menjadi insan yang berguna di masa hadapan.

“Saya akan ditugaskan di daerah kelahiran saya sendiri iaitu di Kudat jadi saya bangga kerana pulang demi tugas mendidik anak Sabah juga terutama di daerah saya sendiri,” kata anak kedua daripada tujuh beradik itu.

Seorang lagi guru agama, Ahmad Khairi Kasimin, 29, yang turut menerima surat penempatan itu berharap dengan pelantikan mereka sebagai guru tetap di sekolah agama akan memenuhi keperluan guru bidang agama di negeri ini.

“Sebelum ini saya memang berkhidmat sebagai pendidik di SAN Keningau namun bukan secara tetap dan baru dilantik untuk diserap sebagai guru agama.

“Saya rela ditempatkan dimana saja dan bagi saya dengan pelantikan ini mungkin akan memenuhi kehendak untuk mengisi kekosongan guru agama di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|