Tokan dadah Merotai dicekup

Tokan dadah Merotai dicekup

Tawau: Tokan dadah yang aktif menjalankan pengedaran barangan haram di Merotai dan sekitarnya akhirnya dicekup polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kuala Merotai, di sini, semalam.

Lelaki warga tempatan berusia 36 tahun itu ditahan jam 6.15 petang oleh polis dari Balai Polis Bombalai selepas menerima maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai aktif menjalankan aktiviti mengedar dadah di kawasan Merotai dan sekitarnya.

“Pemeriksaan lanjut di dalam beg sandang suspek berjaya menemukan 20 paket plastik lutsinar pelbagai saiz disyaki mengandungi dadah jenis syabu.

“Syabu yang dianggarkan seberat 11.54 gram itu dipercayai untuk dipasarkan kepada penagih di sekitar kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Jasmin berkata suspek dan barang rampasan berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|