Balai Polis Karakit, Pulau Banggi perlu naik taraf

Balai Polis Karakit, Pulau Banggi perlu naik taraf

Kudat: Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan keadaan Balai Polis Karakit, Pulau Banggi, yang kini usang dan sempit perlu dinaik taraf.

Menurutnya, ia bagi memastikan operasi pasukannya tidak terganggu selain keselesaan anggota yang bekerja di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani.

Selain itu katanya, kuarters anggota di balai berkenaan juga perlu ditambah kerana ia tidak dapat menampung jumlah anggota bertugas di kawasan berkenaan.

“Hari ini saya datang ke Pulau Banggi untuk mengadakan program bersama komuniti, sekali gus untuk melengkapkan kertas kerja untuk memohon kepada kerajaan untuk menaik taraf balai polis di sini.

“Ketika ini, ia perlu dinaiktaraf memandangkan balai berkenaan kini menempat seramai 38 anggota yang diketuai seorang pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP),”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Outreach Community Policing di Pulau Banggi, di sini, hari ini.

Program berkenaan turut dihadiri Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah.

Acyrl berkata, kuarters anggota disediakan di balai ini hanya mempunyai 12 rumah dan ia sememangnya tidak mencukupi.

Katanya, beliau turut sedia maklum bahawa jumlah rumah sewa di pulau berkenaan agak terhad kerana kebanyakan rumah dihuni oleh pemilik sendiri.

“Saya lihat pulau ini berpotensi untuk membangun. Oleh itu ada keperluan untuk menaik taraf balai polis sedia ada,” katanya.

Untuk rekod, Pulau Banggi adalah terletak di timur laut Kudat dan memerlukan masa kira-kira dua jam untuk sampai dari Pekan Kudat dengan menaiki bot.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|