Tuaran: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah akan mengambil pendekatan baharu dalam menangani isu kemiskinan tegar membabitkan ketua isi rumah di negeri ini.
Menterinya, Datuk Jahid Jahim berkata, pendekatan yang diambil akan memfokuskan masalah ketua isi rumah secara individu dengan lebih terperinci selain menawarkan penyelesaian bersesuaian yang lebih berkesan.
“Kita lihat secara individu, maknanya, apabila dalam satu-satu tempat itu kita akan pilih dan tumpukan perhatian sehinggalah mereka terkeluar daripada garis atau kelompok yang mereka sedang berada.
“Kita ubah pendekatan, maklumat lanjutnya kita akan maklumkan kemudian kerana pendekatan sebelum ini terlalu mahal.
“Selalu saya katakan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) juga kita cuba buat pendekatan yang kos tapi impak maksimum,” katanya ditemui ketika menyampaikan bantuan alat tulis kepada pelajar B40 di Sekolah Kebangsaan (SK) Koporingan, di sini.
Beliau berkata, langkah itu diambil selari dengan perkembangan teknologi pada hari ini selain mengambil kira kelemahan kaedah lama sebelum ini yang banyak memakan kos dan kurang memberi impak yang ketara dalam mengeluarkan golongon miskin tegar daripada garis kemiskinan.
“Apa yang kita buat ialah berdasarkan kepada gabungan teknologi dan juga perkongsian pintar, kita cuba buat sasaran-sasaran di mana kita ingin melihat yang kita bantu itu dalam tempoh waktu tertentu dia sudah terkeluar.
“Kalau tidak kita akan terus menerus melihat mereka bertahun-tahun dengan pendekatan yang sama dengan curahan peruntukan yang berterusan sedangkan mereka masih di takuk lama,” katanya.
Terdahulu, Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli menyampaikan bantuan alat tulis kepada seramai 71 murid B40 di SK Koporingan, di sini, yang turut disaksikan guru besarnya, Hussin Yussof.
-Deasoka