Kontraktor lambat kerja diberi amaran

Kontraktor lambat kerja diberi amaran

Kota Kinabalu: Tindakan tatatertib akan diambil terhadap kontraktor jika gagal melaksanakan pembinaan jambatan baharu di laluan utama Jalan Keningau – Tambunan yang runtuh pada November tahun lalu.

Amaran itu disuarakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, dalam maklum balasnya di laman Facebook beliau terhadap pertanyaan netizen mengenai perkembangan kerja pembinaan jambatan itu.

Beliau berkata, banyak proses yang perlu dilalui sebelum pembinaan jambatan baharu yang lebih baik berbanding sebelum ini dapat dimulakan.

“Semua kajian dan penilaian sudah selesai dan kelulusan itu sudah diberikan.

“Kerja-kerja awalan seperti ujian tanah pun sudah selesai dan kerja fizikal akan bermula dalam masa terdekat.

“Sekiranya tidak saya akan bagi amaran kepada kontraktor pelaksana dan akan mengambil tindakan tatatertib,” katanya di laman Facebook beliau hari ini.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan memberi maklum balas terhadap pertanyaan seorang netizen yang menggunakan nama Victor James Ampang.

Victor membangkitkan isu jambatan itu yang katanya sudah berlarutan hampir setahun.

“YB tu jmbatan utama Keningau Tambunan yg putus mo 1 tahun sda. Sa rasa jembatan tu lebi kurang 20 meter ja napa blm buat2 lagi,” soalnya di laman Facebook Arthur.

Laluan dekat Kampung Liau, Keningau itu terputus dalam satu kejadian jalan runtuh akibat hujan lebat pada 9 November tahun lalu.

Bagaimanapun, sebuah jambatan Bailey dibina dan dibuka sejak Disember tahun lalu sebagai laluan sementara pengguna jalan raya.

Pada April lalu, Arthur mengumumkan peruntukan RM7.2 juta sudah diluluskan oleh kerajaan persekutuan bagi melaksanakan pembinaan jambatan kekal yang baharu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|