Pelantikan 130 guru baharu bantu tampung kekurangan guru di bawah JHEAINS

Pelantikan 130 guru baharu bantu tampung kekurangan guru di bawah JHEAINS

Kota Kinabalu: Pelantikan seramai 130 guru baharu di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) diharap dapat menampung isu kekurangan guru membabitkan mata pelajaran Agama Islam di negeri ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, pelantikan itu selaras dengan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam usaha melahirkan modal insan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

“Ini adalah salah satu inisiatif SMJ melalui modal insan dan kesejahteraan rakyat di mana Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah meluluskan peruntukan untuk tujuan ini.

“Diharap dengan penambahan guru baharu ini akan dapat mengurangkan beban kekurangan guru di sekolah agama di negeri ini. Sekurang-kurangnya boleh membantu menampung dan kita akan memohon lagi guru tambahan untuk sekolah-sekolah menengah,” katanya pada majlis penyerahan surat penempatan di Dewan Saadah, Wisma MUIS, di sini, hari ini.

Katanya lagi, pelantikan itu memberi mengutamakan rakyat Sabah sendiri sebagai pendidik yang berkhidmat di negeri sendiri.

“Guru yang dilantik semuanya adalah rakyat Sabah sendiri yang berkelulusan daripada pelbagai universiti termasuk Universiti Al-Azhar, dari Jordan dan universiti tempatan di Sabah dan Semenanjung.

“Dasar 90:10 juga perlu kita terjemahkan walaupun dasar ini untuk sekolah kebangsaan dan sekolah menengah tetapi dasar itu kita pertahankan dan sebahagian besar anak-anak Sabah yang dilantik.

“Kita memang kekurangan guru agama untuk sekolah di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan ini adalah yang kita usahakan untuk menambah lebih ramai anak Sabah yang mempunyai kelulusan dalam bidang agama boleh memenuhi kouta yang perlu dipenuhi bagi memenuhi 90:10,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|