Toh Puan Rahimah Stephens meninggal dunia

Toh Puan Rahimah Stephens meninggal dunia

Kota Kinabalu: Toh Puan Rahimah Stephens, isteri bekas Ketua Menteri Sabah pertama dan kelima serta Yang di-Pertua Negeri Sabah ketiga, Tun Mohd Fuad Stephens meninggal dunia pagi ini.

Allahyarhamah yang berusia 91 tahun dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di sebuah hospital swasta, di sini.

Toh Puan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu menggantikan tempat suaminya yang meninggal dunia akibat nahas pesawat pada Jun 1976.

Ketika itu, Tun Fuad menjadi Ketua Menteri Sabah kelima.

Selepas memenangi kerusi berkenaan melalui Pilihan Raya Kecil (PRK), Toh Puan Rahimah dilantik sebagai Menteri Kebajikan Sabah pada 17 Julai 1976 dalam Kabinet negeri pimpinan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Harris Salleh.

Beliau adalah wanita pertama dilantik sebagai anggota Kabinet negeri Sabah.

Sementara itu, ADUN Kiulu ketika ini, Datuk Joniston Bangkuai menyifatkan Toh Puan Rahimah sebagai pemimpin wanita yang banyak berjasa kepada negeri, termasuk di Kiulu.

“Sedih mendapat berita pemergian mantan ADUN Kiulu (1976 – 1985) dan Menteri Kabinet wanita pertama Sabah YBhg Toh Puan Rahimah Stephens awal pagi tadi.

“Sumbangan besar beliau dalam merintis pembangunan kemudahan infrastruktur di Kiulu seperti pengaspalan Jalan Raya Kiulu – Tamparuli dan bekalan elektrik ke Kiulu dan banyak lagi akan sentiasa dikenang sebagai legasi tempoh perkhidmatan beliau sebagai ADUN Kiulu.

“Beliau tidak lokek memberi nasihat dan perangsang setiap kali saya berkesempatan berjumpa dengan beliau. Dalam setiap perbualan saya dengan beliau, amat ketara Kiulu amat dekat di hati beliau,” katanya dalam perkongsian di Facebook beliau, hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|