Sekatan Filipina, Indonesia punca PATI bersesak di depoh Imigresen

Sekatan Filipina, Indonesia punca PATI bersesak di depoh Imigresen

Kota Kinabalu: Kelewatan penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Filipina dan Indonesia berpunca daripada sekatan negara terbabit yang enggan menerima kemasukan semula rakyatnya dalam jumlah yang ramai.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, negara terbabit hanya menerima jumlah yang sangat kecil untuk dihantar pulang iaitu antara 20 orang hingga 30 orang sepanjang tempoh pandemik, sedangkan lebih 5,000 PATI berada di depoh Imigresen yang perlu diusir ketika ini.

Khairul Dzaimee ketika ditemui media selepas hadir pada operasi di penempatan setinggan Likas, Kota Kinabalu.

Katanya, negara terbabit memberi alasan bahawa mereka tidak cukup tempat untuk menampung warga negara mereka yang dihantar pulang jika jumlahnya terlalu ramai.

“Isunya sekarang ini, negara asal mereka (PATI) memberi alasan tidak mempunyai tempat yang mencukupi untuk menampung warga negara mereka ini apabila kita hantar pulang.

“Bukan saja Filipina tetapi negara lain seperti Indonesia juga memberi alasan sama,” katanya ketika ditemui media selepas hadir pada operasi di penempatan setinggan di Likas, di sini, awal pagi tadi.

Khairul Dzaimee berkata, pengusiran PATI dijalankan secara berterusan bukan saja depoh di Sabah tetapi juga di seluruh negara.

“Pengusiran agak lambat bagi PATI dari Filipina dan Indonesia kerana alasan yang saya maklumkan tadi.

“Bagi pengusiran membabitkan warga India atau Pakistan, mereka boleh diusir dengan cepat,” katanya.

Sementara itu, Khairul berkata, pengusiran PATI dari Filipina dijangka akan lebih cepat selepas ini susulan satu rundingan yang dibuat antara kedua-dua pihak, baru-baru ini.

“Dalam tempoh terdekat ini, dijangka seramai kira-kira 850 PATI dari Filipina akan dihantar pulang ke negara asal mereka bagi setiap perjalanan.

“Dalam tempoh pandemik pada tahun lepas, mereka (Filipina) tidak menerima kecuali jumlah-jumlah yang sangat kecil iaitu sekitar 20 hingga 30.

“Bagaimanapun, baru-baru ini, satu rundingan telah dijalankan di mana sekiranya mereka mengenakan syarat RTK (ujian Covid-19), kita bersetuju supaya warga negara Filipina ini dibiayai oleh keluarga masing-masing supaya mereka ini boleh diusir dengan cepat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|