71 kanak-kanak antara 117 PATI warga Filipina ditahan di penempatan setinggan Sungai Likas

71 kanak-kanak antara 117 PATI warga Filipina ditahan di penempatan setinggan Sungai Likas

Kota Kinabalu: Seramai 71 kanak-kanak warga Filipina adalah antara 117 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi di penempatan setinggan berhampiran pinggir Sungai Likas, di sini, awal pagi tadi.

Operasi yang bermula jam 12 tengah malam itu diketuai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud bersama 69 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Khairul Dzaimee memeriksa dokumen bagi penduduk yang menetap di kawasan penempatan setinggan di pinggir Sungai Likas, Kota Kinabalu.

Menurut Khairul Dzaimee, hasil operasi itu seramai 124 individu diperiksa di mana 117 ditahan terdiri daripada 12 lelaki dewasa, 24 wanita dewasa dan 71 kanak-kanak lelaki dan perempuan.

“71 kanak-kanak ini adalah satu jumlah yang agak ramai dan mereka berusia antara dua hingga ke 10 tahun dan hasil semakan pegawai Imigresen tadi didapati mereka ini tidak mendapat pendidikan dan tidak menghadiri sekolah.

Khairul Dzaimee membuat pemeriksaan terhadap individu yang ditahan dalam operasi yang dilaksanakan Imigresen di sebuah penempatan setinggan di pinggir Sungai Likas, Kota Kinabalu.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa hasil daripada operasi ini didapati sumber elektrik adalah dari kegiatan curi melalui sistem kabel yang amat berbahaya dan kita boleh lihat yang kabel dibuat secara ‘makeshift’ di bawah dan di atas.

“Selain itu, bekalan air juga dicuri dan Jabatan Imigresen ini akan memaklumkan perkara ini kepada pihak berkuasa utiliti dan pihak berkuasa tempatan juga akan dimaklumkan mengenai keadaan penempatan ini yang amat berbahaya dari segi kesihatan awam termasuk tidak ada sistem perparitan dan sanitasi yang sempurna,” katanya kepada media ketika hadir ke lokasi operasi, di sini.

PATI yang ditahan dalam operasi yang dijalankan di penempatan setinggan berhampiran Sungai Likas, Kota Kinabalu.

Katanya lagi, semua individu yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal melebihi tempoh dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen.

“Buat masa ini mereka akan dibawa ke lokap Imigresen di Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu ini untuk proses saringan dokumentasi dan sekiranya mereka boleh mengemukakan bukti dokumen, mereka akan dibebaskan manakala bagi yang tiada dokumen akan ditahan ke depoh untuk proses pengusiran ke negara asal.

Pasukan JIM memeriksa PATI yang ditahan di penempatan setinggan berhampiran Sungai Likas, Kota Kinabalu.

“Imigresen juga akan merujuk mereka kepada Kementerian Kesihatan supaya mereka yang belum menerima vaksin akan diberikan suntikan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|