Imigresen sudah sedia buka pintu sempadan

Imigresen sudah sedia buka pintu sempadan

Kota Kinabalu: Jabatan Imigresen (JIM) sudah bersedia untuk pembukaan semula sempadan negara yang akan bermula pada 1 April depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil lawatannya ke pintu-pintu sempadan khususnya di Sabah dan Sarawak mendapati persediaan jabatan itu setakat ini sudah dibuat dengan baik.

“Saya melawat di pintu masuk lain di Mengkalap, Sindumin dan Merapok, tujuannya untuk melihat persediaan apabila pintu sempadan negara dibuka pada 1 April dan setakat ini Imigresen bersedia untuk melaksanakan pembukaan semula sempadan negara.

“Dari segi tenaga kerja, semua pegawai yang sebelum ini dibuat sedikit penjajaran contohnya pegawai di pintu masuk dibawa ke depoh untuk tugasan sementara apabila berlaku kes-kes positif dan sekarang ini mereka akan ditempatkan semula (ke pintu masuk),” katanya ketika ditemui media selepas menyertai operasi JIM di penempatan setinggan di Likas, di sini, awal pagi tadi.

Katanya, pembukaan semula pintu sempadan dijangka lancar jika negara jiran juga turut membuka sempadan mereka pada bulan depan.

“InsyaAllah, sekiranya negara-negara jiran kita juga melaksanakan pembukaan sempadan yang sama pada 1 April ini, proses keluar masuk ini tidak akan mengalami banyak masalah.

“Sistem-sistem juga telah diuji semula dan setakat ini berada dalam keadaan yang baik,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan pembukaan pintu sempadan negara bermula 1 April depan.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai lawatannya ke pintu sempadan, Khairul Dzaimee berkata sebuah lagi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) akan dibina di negeri ini.

“Saya telah melawat Pos Imigresen di Pagalungan, Tenom dan kawasan sana agak jauh, saya pergi dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menaiki helikopter untuk melihat proses imigresen di sana.

“Selain itu, saya telah dimaklumkan bahawa satu tapak untuk (ICQS) yang lebih sempurna telahpun dikenal pasti untuk pembangunan di masa hadapan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|