Taktik pembangkang tidak lagi berkesan – Bung Moktar

Taktik pembangkang tidak lagi berkesan – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Taktik pembangkang melemparkan pelbagai proganda, fitnah dan serangan peribadi ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor gagal mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menyokong mereka pada PRN berkenaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata taktik yang digunakan parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu sehingga menjatuhkan kerajaan BN pada 2018 tidak lagi memberi impak.

Bung Moktar ketika membantu kempen BN pada PRN Johor.

Ia kerana, katanya rakyat sudah merasai apa yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) selama memerintah negara sebelum ini yang gagal menunaikan manifesto, selain menyebabkan kestabilan politik dan keadaan ekonomi negara semakin terjejas.

Sehubungan itu, beliau berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor cukup penting kepada parti itu untuk meneruskan langkah mencapai kejayaan lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Kemenangan PRN Johor boleh dijadikan penanda aras dalam memastikan kebangkitan parti selepas kemenangan BN di PRN Melaka untuk terus berjuang bagi memastikan kemenangan pada PRU-15,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurut Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah, rakyat sudah bosan dengan permainan politik pembangkang yang tidak mempunyai halatuju jelas, berbanding BN yang menyediakan manifesto lima teras utama Ikhtiar BN yang realistik dan bakal direalisasikan untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Johor.

“Keputusan PRN Johor kali ini jelas rakyat memilih BN kerana mereka mahukan kestabilan politik dan ekonomi selain pembangunan berterusan untuk dinikmati oleh rakyat Johor,” katanya.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata strategi yang berkesan dan jalinan kerjasama parti kompenan BN, jentera BN selain sokongan dari BN negeri turut menjadi pemangkin kepada kejayaan PRN Johor kali ini.

“Momentum ini perlu dikekal dan terus dipertingkatkan khususnya dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkesan kepada rakyat kerana ianya turut memberikan kesan kepada perjalanan seterusnya untuk menghadapi PRU-15,” katanya.

Beliau berkata, kemenangan besar UMNO dan BN pada PRN Johor juga memberi mesej dan isyarat terhadap keupayaan parti bagi menghadapi PRU-15 nanti.

Namun, katanya BN masih perlu bekerja keras untuk meningkatkan sokongan rakyat.

“Masanya kita terus bekerja menyusun gerak kerja di semua peringkat, kita tidak boleh terleka dengan kejayaan ini kerana ia adalah sebahagian daripada kejayaan parti tapi kejayaan sebenaranya ialah kejayaan kita membentuk kerajaan selepas PRU-15,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|