Lahad Datu: Tindakan penyeludup menyembunyikan rokok seludup di pondok atas air bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila berjaya dirampas Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Pin Sin berkata, kejayaan rampasan itu hasil pemerhatian dan pemantauan yang dijalankan pasukan operasi terhadap pondok berkenaan.
Katanya, pemeriksaan lanjut berjaya menemui beberapa bungkus rokok jenama Astro yang disyaki diseludup masuk dari negara jiran.
“Semua rokok berkenaan terus dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
“Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM14,810 berdasarkan harga pasaran semasa,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kastam 1967.
Sehubungan itu, Gan berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.
Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.
-Deasoka