TLDM Armada Timur harap Kerajaan Perpaduan tingkatkan bajet pertahanan

TLDM Armada Timur harap Kerajaan Perpaduan tingkatkan bajet pertahanan

Sandakan: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Armada Timur berharap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat meningkatkan peruntukan pertahanan khusus aset TLDM di Perairan Sabah dan Sarawak yang memerlukan perhatian serius.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkata, perkara berkenaan adalah salah satu daripada tiga harapan Armada Timur kepada kerajaan baru yang ada ketika ini supaya dapat direalisasikan kelak.

Aset Armada Timur TLDM yang menjaga perairan negara.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap supaya projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) diteruskan serta perolehan Kapal Littoral Mission Ship (IMS) Batch kedua disegerakan.

“Amat mengharapkan kenaikan bajet pertahanan negara daripada 1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) kepada 1.5 peratus GDP… jadi tiga perkara ya, meneruskan projek LCS kita yang tergendala yang sedangpun diteruskan sekarang ini

“Harapan TLDM dan ATM supaya projek itu diteruskan oleh kerajaan yang baru saja mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Keduanya Projek IMS Batch Kedua yang kita harapkan untuk dimulakan segera dan yang ketiganya peningkatan bajet pertahanan negara demi kedaulatan dan juga keselamatan negara yang kita cintai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan sempena Latihan Eksesais OSTEX EAST, di sini, semalam.

Menurutnya, penambahan peruntukan dan penerusan projek itu sangat diperlukan memandangkan Armada Timur tidak memiliki kapal tempur.

Katanya, Armada Timur juga hanya memiliki kapal ronda yang sudah berusia 12 tahun ke atas.

“Sebagaimana yang kita lihat semua aset-aset TLDM yang ada di Timur Malaysia ini, Sabah dan Sarawak yang berpangkalan di Sabah adalah aset-aset yang telah usang yang paling baru kapal ini berusia 12 tahun.

“Bagaimanapun dengan limitasi yang kita hadapi iaitu sistem perjalanan kapal yang telahpun outdated, kapal-kapal usang ini perlu diganti,” katanya.

Terdahulu, melalui Bajet 2022, pertahanan hanya menerima peruntukan sebanyak 1.23 bilion.

Pada Oktober lalu, pembentangan Bajet 2023 diketuai kerajaan sebelum ini kemudiannya meningkatkan bajet pertahanan kepada 17.37 bilion.

Bagaimanapun bajet berkenaan perlu dibentang semula oleh kerajaan baru dan Armada Timur TLDM berharap agar bajet kerajaan baru kekal menaikan peruntukan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|